17 April 2011

ditimpa demam sepanjang hayat

Namanya ialah Abu Tufail bin Ka’ab bin Qis bin ‘Ubaid al-Anshari al-Khazrajj. Beliau adalah Sayyid al-Qurra'(pemimpin para pembaca al Quran). Tubuhnya sederhana, tidak terlalu gemuk dan tidak pendek. Meskipun begitu beliau sangat disegani dalam kalangan para sahabat. Beliau dibesarkan di Madinah. Kebanyakan waktu dalam hidupnya digunakan untuk bertadabbur dan berinteraksi dengan alam.

Beliau cenderung untuk hidup menyendiri dan menjauhi orang ramai kerana penumpuan dan hobinya adalah belajar, membaca dan menulis. Terdapat riwayat dalam al Isabah karangan Ibn Hajar yang menunjukkan bahawa sebelum Rasulullah SAW diutus, beliau amat suka mengkaji kitab taurat yang didapati daripada jirannya seorang Yahudi di Yathrib. Meskipun demikian, beliau tidak terpengaruh dengan pemikiran Yahudi. Bahkan daripada apa yang dibaca, berasa buntu kerana tidak menemui jawapan terhadap apa yang difikirkan, tentang kejadian langit dan bumi, malam dan siang, serta pelbagai kejadian makhluk yang amat mengagumkan.

"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, bahtera yang berlayar di laut membawa apa yang berguna bagi manusia, dan apa yang Allah turunkan dari langit berupa air, lalu dengan air itu Dia hidupkan bumi sesudah mati (kering)-nya dan Dia sebarkan di bumi itu segala jenis haiwan, dan pengisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi; Sungguh (terdapat) tanda-tanda (keesaan dan kebesaran Allah) bagi kaum yang memikirkan." 

(QS al Baqarah, 2:164)

Pada suatu malam Allah telah melorongkan laluan hidayah kepadanya untuk menerima ajaran Islam.

"Dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus (menurut undang-undang peraturanNya)."

 (QS al Baqarah, 2:213)

Beliau mendengar khabar tentang kerasulan Muhammad SAW. Beliau telah pergi kepada sahabatnya Sa’ad bin al Rabi’ untuk bertanya tentang Islam. Sa’ad telah pun menerima Islam setelah terpegun dan meyakini dakwah Nabi yang dilakukan secara hikmah, nasihat yang baik dan akhlak yang menawan hati. Setelah mendengar penjelasan Sa’ad akhirnya dengan penuh kesedaran beliau memeluk Islam, lalu beliau pergi menghadap Rasulullah SAW dan menyatakan baiah kepada Rasulullah SAW.

Suatu hari Rasulullah SAW bertanya kepadanya, “Wahai Abu Munzir! Manakah ayat dalam kitab Allah yang paling besar?” Beliau menjawab: “Allah, tidak ada tuhan selain-Nya Zat yang hidup dan memberi kehidupan.”

Kemudian Rasulullah SAW menepuk dadanya dengan tangan Baginda seraya berkata: “Semoga Allah memberikan keberkatan ilmu, wahai Abu Munzir!” (Baginda menggelarnya Abu Munzir yakni bapa segala pemberi peringatan).

Pada waktu Rasulullah SAW keluar dari Madinah, beliaulah yang menggantikan Nabi SAW untuk menjadi imam solat. Kerana ilmunya yang dalam juga, Rasulullah SAW melantiknya menguruskan para duta yang untuk mengajarkan al-Quran ke seluruh pelosok tempat.

Dalam riwayat hidupnya seperti yang terdapat dalam al Isabah, beliau pernah bertanya kepada Rasulullah tentang penyakit yang menimpa seseorang. Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Ia adalah kafarah (penghapusan) terhadap dosa seseorang itu.”

"Tidak ada suatu apa pun yang menimpa seorang mukmin, walau duri sekalipun kecuali Allah menuliskannya sebagai kebaikan atau dihapusnya kesalahan."

(HR. Bukhari dan Muslim) 

Mendengar penjelasan itu, Ubay telah memohon kepada Allah agar ditimpakan suatu penyakit yang akan menghapuskan dosa dosanya. Beliau telah ditimpa demam yang berpanjangan hingga hari beliau bertemu dengan Allah. Menurut riwayat, badannya sentiasa panas seperti demam kerana doanya agar dihapuskan dosa-dosanya. Benar sekali sabda Nabi SAW dalam sebuah hadis riwayat Muslim maksudnya: “Janganlah kamu mencela demam kerana demam itu akan menghapuskan dosa-dosa seperti mana api menghilangkan kotoran-kotoran pada besi.”

 Dari Abi Said dan Abu Hurairah r.a. bahwa Nabi SAW bersabda: "Tidak menimpa seorang muslim dari capai, tidak pula suatu sakit, tidak pula gelisah, tidak pula sedih, tidak pula suatu penyakit, tidak pula susah, sampai pada duri yang menusuknya, kecuali Allah menghapuskan karenanya kesalahan-kesalahannya."

(HR Bukhari)

 

Thanks for Reading ♥

No comments: